Saturday 26 March 2011

Preuniversiti: Program Matrikulasi

Latar Belakang
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan Bahagian Matrikulasi pada 1 September 1998 untuk penyeragaman semua Program Matrikulasi/Asasi yang selama ini dikendalikan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).


Pada sesi 1999/2000, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia telah memulakan Program Matrikulasi bagi lulusan SPM 1998.


Mulai sesi 2000/2001, semua Program Matrikulasi kecuali UIAM dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia.


Konsep
Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan program persediaan bagi pelajar Bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melayakkan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Sastera Ikhtisas di universiti awam dan swasta.


Tempoh pengajian prauniversiti ini mengambil masa dua (2) semester. Kurikulum program ini memberi penekanan terhadap aspek akademik dan tidak mengabaikan aspek kokurikulum.


Di samping menyediakan pelajar yang berilmu dan berketrampilan, pelajar juga perlu mempunyai ciri kualiti diri yang terpuji dan daya kepimpinan yang tinggi.


Semua pelajar program ini mengikuti sukatan pelajaran dan kaedah penilaian yang sama. Pemilihan pelajar ke universiti hanya dibuat selepas lulus Program Matrikulasi.


Tempat Pengajian
Mulai sesi 2003/2004, Program Matrikulasi dijalankan di Kolej-Kolej Matrikulasi dan Kolej MARA sahaja. Senarai Kolej Matrikulsi Kementerian Pelajaran Malaysia boleh diperoleh dalam Direktori Institut Kementerian Pelajaran Malaysia.


Bidang Pengkhususan
Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia menawarkan dua(2) jurusan pengajian:
Jurusan Sains (Kod M001)
Jurusan Perakaunan (Kod M003)


Rancangan Program
a) Jangka Masa Program
Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil masa dua (2) semester / satu (1) tahun kecuali bagi Program Dua Tahun.


b) Pengambilan Pelajar
Mulai sesi 2001/2002 pengambilan pelajar dibuat sekali setahun iaitu bulan April/Mei. Pengambilan ini membolehkan pelajar lulusan Program Matrikulasi memasuki IPTA untuk program ijazah pertama pada tahun berikutnya.


c) Mata Pelajaran
Mata Pelajaran yang dipelajari semasa mengikuti Program Matrikulasi ialah seperti berikut:
i) Jurusan Sains (M001)
- Matematik
- Kimia
- Fizik atau Biologi


ii) Jurusan Perakaunan (M003)
- Matematik
- Perakaunan
- Ekonomi
- Pengurusan Perniagaan


Di samping mata pelajaran bidang pengkhususan, mata pelajaran berikut wajib diambil oleh semua pelajar:-
- Bahasa Inggeris
- Dinamika Kemahiran
- Pendidikan Islam/Moral
- Sains Informatik


Semua pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia diwajibkan mengambil satu daripada mata pelajaran kokurikulum berikut:-
- Sukan/Permainan atau
- Persatuan/Kelab atau
- Kawat Kaki


Bahasa Penghantar Program Matrikulasi
Mulai sesi 2004/2005 mata pelajaran Matematik, Sains, Fizik, Kima, Biologi dan Sains Informatik diajar dalam Bahasa Inggeris.


Pembiayaan
Pelajar Program Matrikulasi dibiayai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.


Peluang meneruskan pengajian selepas lulus program matrikulasi
Pelajar yang lulus program ini dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia akan berpeluang mengikuti program ijazah pertama di semua universiti awam.


a) Pelajar yang lulus Program Matrikulasi Sains boleh memohon untuk mengikuti program pengajian ijazah pertama dalam bidang seperti berikut:-
Perubatan
Pergigian
Sains
Sains Komputer
Teknologi
Kejuruteraan
Seni Bina
Bioperubatan
Bioteknologi
Farmasi
Sains Gunaan
Sains Pendidikan
Teknologi Maklumat
Bidang-bidang lain yang sesuai
Pelajar yang mengikuti bidang perubatan juga berpeluang ditaja ke unversiti luar negara.


b) Pelajar yang lulus Program Matrikulasi Perakaunan boleh memohon untuk mengikuti program pengajian ijazah pertama dalam bidang seperti berikut:-
Perakaunan
Ekonomi
Pengurusan Perniagaan
Pentadbiran Perniagaan
Pentadbiran Awam
Teknologi Maklumat
Pengurusan Sumber Manusia
Bidang-bidang lain yang sesuai


(sumber: Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia)

REMINDER: SPM Leavers

Closing date for application to study in public universities for Diploma & Asasi programmes via UPU is : 4th April 2011 (Monday).