Thursday 7 October 2010

Doa Memohon Ditambah Ilmu



Maksudnya: “... Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.”
(Al Qur’an an Terjemahnya, Surah Thahaa ayat 114)


Keterangan dan pengajaran dari ayat di atas:
Menurut al-Tibi, ayat ini mempunyai kaitan dengan ayat yang sebelumnya. Allah s.w.t. menunjukkan kekuasaan-Nya yang menimbulkan rasa kagum kepada sesiapa yang memahami ayat-ayat Allah. Disebabkan perkara itu, maka agungkanlah Allah dan bersungguh-sungguhlah untuk menghafaz ayat-ayat-Nya tetapi jangan tergopoh-gapah.


Nabi s.a.w. pada peringkat awal diturunkan wahyu sentiasa mengikut Jibril a.s. membaca al-Quran sebelum Jibril berhenti. Perkara ini dilakukan oleh Nabi kerana takut Jibril akan pergi sebelum baginda dapat mengikut kesemuanya. Allah s.w.t. menurunkan ayat ke-114 untuk menegur kesilapan Nabi s.a.w. itu kerana ia mungkin menyebabkan Nabi tidak dapat mengikuti apa yang akan dibacakan seterusnya. Kemudian Allah s.w.t. mengajar Nabi s.a.w. agar berdoa meminta Allah menyemarak dan menambahkan ilmu baginda.
(Tafsir Ruhil Ma’ani, tafsir ayat ke-114 surah Thaha)


Selain itu, menurut al-Imam Ibn Badis al-Sanhaji, hati tidak sekali-kali akan memperolehi apa yang sedang dipelajari sehinggalah lidah berhenti daripada berkata-kata. Dengan sebab itu, seseorang pelajar hendaklah mendiamkan diri daripada berkata-kata sama ada secara jelas atau berbisik semasa proses pembelajaran berlaku.
(Tafsir Ibn Badis, tafsir ayat 114, Surah Thahaa)


Oleh itu, adalah diharap para pelajar sekalian akan mengamalkan doa di atas bagi memohon kepada Allah s.w.t untuk mempermudah proses memperolehi ilmu seterusnya akan menambah ilmu pelajar-pelajar sekalian.

No comments: